05/11/2012

Program NILAM


Apa itu Program NILAM?

‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Rasional
Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.

Matlamat
Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid

Objektif
• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini

Komponen dalam Program NILAM
 Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.
Mengesahkan rekod dan mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.
Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.


Tahap dalam NILAM
Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP).

Apakah itu Tahap Jauhari?
Tahap Jauhari
Tahap Jauhari menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka dan ia dijalankan pada dua peringkat persekolahan :

a. Sekolah Rendah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam Tahun Satu). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut :
Jumlah Buku
Pengiktirafan
90 - 179
Gangsa
180 - 269
Perak
270 - 359
Emas
360 ke atas
NILAM

b. Sekolah Menengah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan. Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah BukuPengiktirafan
72 - 143
Gangsa
144 - 215
Perak
216 - 287
Emas
288 ke atas
NILAM

Apakah pula Tahap Rakan Pembaca?
Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau bagaimanapun aktiviti Tahap JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini diberikan mengikut jumlah aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah bilangan pendengar, kecuali aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut kesesuaian umur murid seperti :
- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)
- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam = 5 markah)
• Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :
Jumlah markah aktiviti
Pengiktirafan
100 – 199
Gangsa
200– 299
Perak
300 – 399
Emas
400  ke atasNILAM

Bilakah Program Nilam dijalankan?
Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.
Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti Bicara Buku dan menulis ulasan buku. 

Contoh aktiviti yang dijalankan dalam Program NILAM
• Projek Pukal - Setiap kelas dibekalkan 50-100 naskah buku dan pelajar dibenarkan meminjam buku setiap hari sebanyak mana mampu.
• Bicara Buku - Murid digalakkan membaca sebuah buku dan berhimpun untuk membincangkan secara kritis tentang isu-isu dan persoalan yang timbul dalam buku tersebut.
• Anotasi buku - Murid digalakkan untuk banyak membaca dan membuat ulasan tentang cerita yang dibaca di dalam buku rekod. Ulasan ini boleh dibentangkan semasa perhimpunan dan murid boleh mendapat markah Rakan Pembaca untuk aktiviti ini.
• Bercerita - Murid terutamanya murid sekolah rendah digalakkan untuk bercerita tentang cerita dari buku-buku yang pernah dibaca.
• Jejak Maklumat - Murid dikehendaki mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan buku atau isi sesebuah buku yang terdapat di Pusat Sumber Sekolah atau sumber bacaan di kawasan yang disediakan.


No comments:

Post a Comment