02/10/2013

karangan jenis catatan

KARANGAN : CATATAN PERKELAHAN

Kamu dan keluarga kamu telah pergi berkelah di satu tempat perkelahan. Tuliskan sebuah catatan tentang perkelahan tersebut.

Ahad , 25 Mac 2013.

7.00 pagi
Pagi-pagi lagi suasana di rumahku sudah riuh. Ini disebabkan adik-beradikku sibuk membuat persiapan untuk pergi berkelah di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan seperti yang dijanjikan oleh ayah. Ayah dan ibu sibuk di dapur menyiapkan bekalan makanan yang hendak dibawa.

8.15 pagi.
Kami sekeluarga bertolak dari rumah dengan menaiki kereta Toyota Avanza. Perjalanan ke Port Dickson mengambil masa selama satu jam setengah . Ketika kami sampai, orang ramai sudah membanjiri pantai Port Dickson.

9.45 pagi.
Ayah mencari tempat yang sesuai untuk kami berteduh di bawah sebatang pokok yang rendang. Aku, abang dan adikku pula membantu ibu mengangkat  barang-barang lalu meletakkannya di bawah pohon itu. Ibu pula mula menyusun atur barang dan membuka bekalan yang dibawa.

10.00 pagi.
Selepas menukar pakaian, kami adik-beradik bermandi-manda di kawasan gigi air
sahaja. Sementara itu ayah sentiasa memerhatikan kami dari tepi pantai sebagai langkah berjaga-jaga. Selepas puas bermandi-manda, kami naik ke pantai dan membina istana pasir bersama-sama.

12.15 tengah hari.
Setelah lebih dua jam kami bermandi-manda dan membina istana pasir, kami dipanggil oleh ibu untuk menjamu selera dengan bekalan yang dibawa. Kami makan dengan amat berselera sekali, maklumlah masing-masing sudah kelaparan dan makanan yang ibu sediakan pula enak-enak belaka. Sambil itu, kami menikmati suasana nyaman pantai Port Dickson dan melihat gelagat orang ramai yang ada di situ.

3.00 petang.
Setelah berkemas-kemas, kami pun bertolak pulang. Kami berasa gembira dan puas dapat berkelah di situ. Semasa dalam perjalanan pulang, ayah berjanji akan membawa kami berkelah di pantai Port Dickson lagi pada cuti yang akan datang atau jika ada
kelapangan pada masa lain.


No comments:

Post a Comment